Cinta dan Air Mata
Tuhan, Jika tiada lagi kekuatan dalam diriku ini, sudah pasti aku telah menamatkan nyawaku sendiri. Sayangilah aku Tuhan.. kerana beban penderitaan yang kugalas amat pahit untukku tanggung sendirian. Hatiku ini sering menangis kerna rentetan hidupku di dunia ini dikongkong besi yang lebih dasyat daripada waja. Aku adalah manusia yang bernafas demi meneruskan sisa kehidupan dan hanya menunggu saat-saat kematianku walaupun diriku ini sudah mati sebelum waktunya.
Aku tidak tahu sudah berapa kali aku menukilkan luahan-luahan seumpama itu. Namun dengan cara itu sajalah aku tahu dapat melegakan perasaanku yang sering dalam kesedihan dan putus asa . Hanya padaNya tempat aku meluahkan isi hatiku kerana apa yang kutanggung adalah suatu kerahsiaan yang tidak pernah aku luahkan pada sesiapa.Kadangkala aku bingung kenapa aku masih setia padanya. Sedangkan dia sesedap hati memukul dan menengking aku sehingga aku menangis tersedu-sedu.
Peliknya dia akan menjadi lelaki paling lembut memujuk wanita setelah diriku diperlakukan sedemikian rupa. Tidak adakah perasaan hormat dirinya kepada seorang wanita? Atau dia sengaja menunjuk garang sebagai tanda penguasaannya terhadap diriku?
Di awal perkenalan, aku sudah dapat mengesan sikap panas barannya yang tidak menentu. Tanpa bukti atau usul periksa, dia akan datang seumpama seekor harimau mencengkam mangsa. Diriku akan diherdik tanpa mengizinkan aku membela diri. Malah hakku untuk bersuara terus dinafikan jika datang anginnya. Aku bagaikan pesalah yang menerima hukuman atas kesalahan yang tidak pernah dilakukan.
Cemburunya tidak bertepi.. Begitu kuat perasaan cemburunya sehingga tidak boleh melihat aku bercampur-gaul dengan orang lain, walaupun bersahabat dengan wanita. Seboleh-bolehnya dia ingin memiliki aku hanya untuk dirinya. Tidak dibenarkan aku bercakap dengan sesiapa kecuali ahli keluaraga. Jika handsetku berbunyi, pasti berdesing telinganya jika mendengar suara lelaki. Malah ditapis agar dirinya dan orang-orang tertentu sahaja yang boleh menghubungiku.
Ke mana sahaja aku pergi seakan dia mendahuluiku. Seolah-olah dia berada di mana sahaja aku berada. Dia akan menghubungiku setiap waktu bagi memastikan aku berada di bawah kawalannya. Jika jejakku tidak dapat dikesan, sudah pasti aku akan menerima habuan barannya. Malah aku dituduh berlaku curang dibelakangnya!
Dia adalah Shahrul Radzi. Insan lelaki yang tidak pernah mengenal erti belas kasihan kepada seorang wanita. Ibarat wanita harus sujud kepada segala perintah dan kemahuannya. Dan aku adalah wanita malang kerana telah jatuh dalam cengkamannya. Segalanya angkara jatuh cinta pada orang yang salah. Bercinta dengan Shahrul Radzi adalah suatu kesilapan.
Kerana cinta aku bersabar. Sabar menghadapi segala karenahnya yang menuntut seribu pengorbanan. Terlalu banyak airmata mengalir demi mempertahankan sebuah percintaan. Dia adalah cinta pertamaku. Demi Tuhan, aku benar-benar menyayanginya. Tetapi aku juga seorang wanita lemah yang tidak dapat terus bertahan menerima penyeksaan. Hati ini berbaur antara cinta dan dendam.
Acapkali juga aku meminta perpisahan. Namun aku diugut dengan pelbagai ancaman. Dia tidak dapat menerima perpisahan. Kiranya ugutannya tidak lagi terkesan, dia akan memujuk rayu sehingga hati batuku menjadi cair. Ironinya, aku mudah termakan pujukannya dan akan berakhir dengan menerimanya kembali. Mungkinkah sisa-sisa cinta aku padanya itu masih kuat?
Kata Shahrul Radzi, dia amat menyintaiku. Dia tidak dapat hidup tanpaku. Aku adalah insan yang paling memahaminya. Dan katanya lagi, dia menjadi terlalu cemburu kerana begitu takut kehilanganku. Dia takut dirinya menjadi terpinggir.
Namun fikirku, jika diriku begitu berharga, kenapa aku tidak dilayan sebagai sesuatu yang berharga. Aku adalah insan yang punya hati dan perasaan. Aku ingin berkasih seperti insan lain yang berkasih. Dibelai dan dimanja. Bergurau dan ketawa. Memberi dan menerima.
Aku? Saat-saat manis hanyalah di awal percintaan. Baran dan cemburunya masih dapat dikawal walau jelas kelihatan. Waktu itu, aku begitu bahagia di sampingnya. Namun segalanya berubah apabila dia mengesyaki begitu ramai teman-temanku menyimpan perasaan terhadapku. Dia menjadi terlalu syak wasangka. Padanya, mereka semua mempunyai niat tersembunyi untuk merampasku dari tangannya. Setiap gerak-geriku diawasi kerana takut aku menduakannya. Kebebasanku disekat. Aku tidak betah lagi menghubungi rakan-rakan yang dahulunya akrab denganku.
Duniaku sekarang adalah dia. Hidupku ditentukan olehnya. Kata-katanya perlu diturut walau aku tidak setuju. Aku tidak dapat lari lagi kerana bagaikan ada kuasa yang menghalang kebebasanku. Aku kehilangan teman-teman. Rasa sepi sering menghantui walau tika aku bersama dengannya.
Aku kini mengharapkan dia berubah. Belajar untuk mempercayaiku tanpa disulami curiga. Aku seorang pencinta yang setia. Tetapi sayangnya kesetiaanku tidak pernah jelas dimatanya. Airmataku yang menitis tidak berupaya memadamkan amarah dan api cemburunya. Turut kuberharap dia menyedari kejujuranku terhadapnya.Cintaku ini putih dan bukannya mengandungi muslihat.
Oh Tuhan.. Aku mengakui hidupku tidak bahagia. Kehidupan cintaku adalah suatu melankolia. Kusam dan tak bermaya. Aku gagal menemui jalan keluar dan aku sudah buntu dalam menentukan jalan hidupku. Namun jauh di sudut hati, aku percaya doaku saban hari akan dimakbulkanNya. Doa itu penawar hatiku. Doa itu doa kebahagiaan. Dan doa itu jualah yang terus menghidupkan aku sebagai insan yang mengerti.. Sesungguhnya takdir itu ada hikmahnya.
<< Home